Monday, 22 February 2010

KEWARTAWAN DALAM TALIAN HARUS DIKAWAL

Istilah demokrasi, kebebasan rakyat bersuara, selalu menjadi isu yang dipersoalkan di Malaysia. Persoalan ini timbul kerana perkembangan teknologi yang semakin pesat dan juga perkembangan intelektual manusia di seluruh dunia. Melalui teknologi, wujudnya wayar jalur lebar atau lebih dikenali dengan nama internet. Adakah melalui internet ini, kebebasan setiap pihak atau individu untuk bersuara dianggap relevan dan munasabah? Adakah setiap suara individu itu bersifat ilmiah atau bijak sehingga ia patut diperdengarkan? Jika suara-suara ini bersifat hasutan dan mengganggu keharmonian negara, ia seharusnya di tapis untuk mengelakkan ianya mengganggu keharmonian sesuatu negara. Melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, kita dapat lihat media arus perdana dikawal bagi menjaga keharmonian masyarakat di Malaysia. Media arus perdana juga mempunyai unsur-unsur lain apabila wujudnya berita-berita sensasi hiburan, pengiklanan dan lain-lain untuk menarik minat pembaca. Dengan menggunakan alternatif lain, masyarakat telah memilih internet sebagai medium pengkhususan berita yang lebih telus dan mempunyai variasi daripada sudut pandangan. Tetapi, tanpa etika dan lebih mementingkan emosi, berita-berita di dalam talian telah mewujudkan jurang perbezaan antara pelbagai pihak dan bersikap lebih agresif.

Mungkin kerana tiada panduan atau kurang pendedahan untuk bersikap lebih sensitif ketika menulis telah mewujudkan ketidak-seimbangan penulisan dikalangan rakyat Malaysia. Pada 29 Januari 2010, Khairulizam Abdul Ghani atau blogger Aduka Taruna telah didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban melalui Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana menghina kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail. Melalui laman blog ini beliau secara tidak lansung telah menaikkan kemarahan Rakyat Johor dan menyerang emosi keluarga Almarhum Sultan Iskandar sendiri. Sebelum itu, terdapat juga beberapa kes yang dibawa ke mahkamah di atas tuduhan menghina Sultan Perak ketika isu Menteri Besar Perak yang diterajui oleh Dato Mohd Nizar Jamaluddin daripada Pakatan Rakyat dianggap tidak sah. Kebebasan bersuara di dalam talian ini juga telah mengakibatkan hubungan dingin di antara negara Malaysia dan Indonesia. Berpunca daripada kesilapan teknikal yang sangat kecil oleh syarikat pengiklanan daripada Singapura. Media Indonesia telah mensensasikan isu “tarian pandet” sehingga wujudnya blog yang menghina dan menjatuhkan maruah rakyat daripada kedua-dua negara. Melalui laman sembang dan blog, sentimen-sentimen yang menghina kerajaan dan berunsur perkauman dijadikan ulasan. Oleh kerana internet bersifat global, setiap ulasan diperhatikan oleh rakyat daripada negara-negara lain dan lebih menyedihkan, ia menunjukkan kelemahan kedua-dua negara dan mentaliti rakyat kepada pihak yang ingin mengambil kesempatan.

Kebebasan dalam talian dilihat dapat mengundang padah kerana sesetengah pihak tidak berfikir secara kritikal ketika meluahkan pendapat melalui penulisan di internet. Malaysia terkenal dengan negara yang berbilang kaum dan rakyatnya hidup dengan harmoni. Tetapi, dengan kebebasan yang tidak dikawal, ia mampu mengudang kecelaruan di kalangan rakyat Malaysia. Dapat dilihat keharmonian Malaysia dicabul setelah wujudnya isu-isu sensitif yang tidak sepatutnya diutarakan dibincangkan di dalam talian. Kebebasan ini telah mengundang kepada ketidak stabilan politik dan mewujudkan perselisihan faham di antara parti-parti politik dan juga kaum di Malaysia. Walaupun kebebasan yang dimaksudkan untuk kebaikan negara. Tetapi, perpaduan di antara kaum tidak akan tercapai apabila setiap individu dengan mudah sekali mengeluarkan pelbagai isu dengan kebebasan mutlak tanpa dipantau. Oleh itu, kewartawanan dalam talian harus dikawal bagi menghalang individu-individu yang tidak beretika mengutarakan isu sensitif yang boleh mengeruhkan keharmonian rakyat Malaysia. Hanya kerana segelintir pihak yang membuat kenyataan tentang sesuatu perkara yang bertentangan dengan ideologi umum, ianya mampu menyemarakkan perasaan benci dikalangan masyarakat terhadap satu komuniti. Umpama istilah “Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.”

Rujukan
http://www.parlimen.gov.my/

 Diambil daripada www.bestmalaysianfood.com


Monday, 18 January 2010

Testing 1,2,3

holla